Monday, March 30, 2015

MAS tidak dapat elak pemberhentian 6,000 kakitangannya - Ong Tee Kiat

MAS tidak dapat elak pemberhentian 6,000 kakitangannya - Ong Tee Kiat
Bernama | Kemas kini: Mac 30, 2015
(Diterbitkan pada: Mac 30, 2015 21:18 MYT)

KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines (MAS) berdepan situasi sukar dan rancangannya untuk mengurangkan 6,000 kakitangan itu adalah sesuatu yang tidak dapat dielak dan sebaliknya perlu diteruskan, kata bekas Menteri Pengangkutan Tan Sri Ong Tee Keat hari ini.

Khazanah Nasional Bhd, yang memiliki MAS, telah melakukan penilaian menyeluruh secara teliti mengikut Pelan Pemulihan bernilai RM6 bilion bagi syarikat penerbangan negara itu dan keperluan mengecilkan tenaga kerjanya adalah sangat kritikal bagi pelan tersebut, katanya.

Ong berkata demikian bagi mengulas bantahan yang disuarakan dalam kalangan Kesatuan Sekerja MAS yang telah merayu kepada Khazanah dan kerajaan supaya mengabaikan tindakan pemberhentian pekerja besar-besaran yang melibatkan satu pertiga daripada tenaga kerjanya.

"Kita tidak mampu untuk berada dalam zon selesa selama-lamanya. Jika kita katakan yang kita telah melakukan ini sejak beberapa tahun, jadi kenapa kita tidak boleh teruskannya. Jadi apakah pelan pemulihan atau perubahan yang kita bincangkan?," katanya.

"Adakah kita mahu terjerumus dalam perangkap lama yang sama, iaitu berbentuk bantuan kewangan, kita mahu dijamin keluar oleh kerajaan dan adakah itu sahaja. Justeru, sekarang kita perlu membuat pilihan, apakah ia sekadar dijamin keluar semata-mata atau pemulihan yang tulen dan sangat bermakna bagi kelangsungan syarikat penerbangan negara.

"Saya rasa ini adalah dua perkara utama yang kita perlu putuskan secara muktamad dan tegas demi kepentingan negara," katanya.

Ong menekankan sejak awal lagi, semua maklum isu pemberhentian kerja sementara tidak dapat dielak dan pertemuan yang mencukupi telah dibuat dengan pelbagai kesatuan pekerja dan langkah pemberhentian kerja bukan menjadi satu isu sekarang.

"Langkah berikutnya selepas ini kemungkinan pemilihan pekerja yang sesuai, dan saya yakin keperluan mendapatkan bilangan pekerja yang sewajarnya bagi menepati bilangan tenaga kerja yang optimum dibincangkan. Ini adalah perkara yang tidak dapat dielak syarikat penerbangan itu.

"Ini bermakna bukan Khazanah mahu sedaya upaya untuk pemberhentian kerja sementara atau pembuangan mana-mana kakitangan, tetapi demi kelangsungan MAS, sama ada kita mahu syarikat baharu iaitu MAS yang baharu terus wujud, terus beroperasi atau sebaliknya," tambahnya.

Antara tujuan pelan penstrukturan semula bernilai RM6 bilion itu adalah supaya syarikat penerbangan tersebut meraih keuntungan dalam tempoh tiga tahun, Khazanah telah menjadikan MAS sebagai syarikat persendirian tahun lepas.

Penstrukturan semula MAS turut melibatkan langkah pengecilan tenaga  kerjanya.

Langkah penilaian pekerja yang menyeluruh telah diselesaikan pada awal Februari, melibatkan kira-kira 20,000 kaitangan dengan mengambil kira rekod prestasi, pengalaman, kelayakan, sifat tingkah laku, rekod disiplin, kecekapan, serta aspirasi untuk menyertai MAS NewCo.

Penilaian tersebut juga menyaksikan 500 eksekutif kanan MAS menjalani perbincangan selama tiga jam dengan perunding bebas.

Pusat Pembangunan Korporat yang dijangka memulakan operasi pada 1 April, 2015 akan menyediakan landasan dan peluang bagi penempatan luar serta latihan semula kakitangan MAS yang terlibat.

Pusat tersebut akan menyediakan pekerja yang diberhentikan dengan akses kepada perkhidmatan yang pelbagai, termasuk pemprofilan tenaga kerja, kaunseling kerjaya, latihan asas dan terperinci, kemahiran mencari kerja, keusahawanan, penempatan dan rancangan persaraan.

Langkah terbaru dalam penstrukturan semula syarikat itu adalah pelantikan Christoph Mueller sebagai Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan yang diawalkan daripada Julai kepada 1 Mei.

Hasrat itu membenarkan Mueller mengetuai usaha penstrukturan semula syarikat dan membolehkan masa yang tepat untuk peralihan kepada MAS NewCo, Malaysia Airlines Bhd.

Mengulas mengenai kenyataan kesatuan bahawa aset teras kepada syarikat penerbangan itu adalah 'kemahiran, pengalaman dan kesanggupan kakitangan' dan tenaga kerja sewajarnya tidak dianggap sebagai komoditi, Ong mengulangi adalah sia-sia untuk bercakap mengenai sentimen pada masa ini kerana kegagalan bukan lagi satu pilihan dan pelan pemulihan yang sedang dilaksanakan sewajarnya menjadi yang terakhir kepada MAS.

"Ini adalah soal hidup atau mati untuk syarikat itu. Anda mungkin memiliki kepakaran, bakat dan kesemuanya namun, jika tenaga kerja dianggap terlalu berlebihan, anda perlu kurangkannya demi kelangsungan dan ini adalah keputusan sukar yang perlu dibuat.

"Dalam hal ini, kita memberi jaminan 6,000 pekerja itu akan diberi kemahiran, dilatih dan ditugaskan semula. Ini bermakna mereka akan mendapat pekerjaan, kecuali mereka memilih untuk tidak menyesuaikan diri dengan perubahan itu.

"Selain itu, kerajaan sewajarnya sedar mengenai beberapa faktor utama atas kegagalan kita menguruskan MAS.

"Kita bercakap dari masa ke semasa, perbelanjaan yang membazir, atau kontrak yang akan dianggap tidak kondusif kepada MAS, semua ini perlu dikaji semula. Semua ini telah diperkatakan.

"Sudah tentu tidak adil untuk menyatakan hanya 6,000 orang dijadikan alasan bagi kegagalan MAS," katanya.

Wednesday, July 16, 2014

keyword #CDM25 #CCM25 #PEUGOT

keyword panas semalam adalah #CDM25 . Pada awalnya #CCM25 tetapi bila kesilapan terus ditukar kepada #CDM25 .. Apa yang panas mengenai #CDM25 ni?

Satu kejadian yang berlaku di Kuantan pada 14.07.2014 pada satu tengah hari, dimana seorang wanita berusia dalam lingkungan 30an tidak dapat menerima hakikat kereta peugot barunya yang bernombor plat CDM25 dilanggar oleh seorang lelaki tua.

Benda normal je.. accident kecik je.. boleh settle lelok pun.. cuma tindakan yang dilakukan oleh wanita tersebut terhadap lelaki tua tersebut telah menarik perhatian seluruh dunia.. bukan di Malaysia je...

Kesannya, segala biodata wanita tersebut diselongkar dan mendapat cemuhan seluruh masyarakat..

Tapi oklaa, semua dah settle.. Uncle tu pun dah maafkan wanita tersebut... DIGI pun nak tolong bayar kos repair.. oklaa tu...

Kesan terhadap wanita itu? Polis kata akan lakukan siasatan. Video dah kuar, semua dah tengok dan boleh dikatakan wanita tu dah boleh kira pembuli jalan raya... Tak kira apa jua kenderaan yang anda bawa.. sepatutnya nilai hormat-menghormati, bersabar perlu ada.. benda boleh settle pun.. Calar je pun.. Nyawa ko selamat tak cedera pape sepatutnya dah bersyukur... calar di kereta boleh diperbaiki... calar di hati.. sukar diubati...

Semoga ini menjadi teladan kepada semua... Siapa nama wanita tue.. google je..




Monday, December 9, 2013

HMetro | TM, Formis jalin kerjasama

Telekom Malaysia Berhad (TM) mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai penyedia perkhidmatan yang neutral apabila syarikat terbabit menandatangani satu lagi perjanjian perkhidmatan Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi (HSBB) dengan Formis Development Sdn Bhd (Formis).

Ia membolehkan Formis yang bernaung di bawah Formis Resources Berhad menyediakan perkhidmatan akses dan transmisi HSBB serta akses Internet pukal kepada Formis.

Naib Presiden Eksekutif, Global & Peruncitan TM Rozaimy Rahman berkata, kerjasama ini akan membolehkan Formis meluaskan penawaran perkhidmatan berasaskan gentian di bawah jenama Ohana di Malaysia kepada lebih 1.456 juta premis yang diliputi perkhidmatan HSBB.

“Ia termasuk segmen perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sekali gus memenuhi permintaan terhadap perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi di pasaran yang kian meningkat,” katanya di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Formis Steven Pun berkata, PKS mewakili lebih 95 peratus syarikat di Malaysia dan menyumbang lebih 30 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Walau bagaimanapun, disebabkan batasan dalam kuasa pembelian dan akses kepada infrastruktur yang sesuai, kebanyakan PKS tidak mampu mendapatkan penyelesaian jalur lebar menyeluruh terbaik dengan tahap fleksibiliti lebih tinggi pada harga yang kompetitif,” katanya.

Menurutnya, melalui perjanjian dengan TM, Formis akan dapat menawarkan perkhidmatan jalur lebar gentian diyakini pada kelajuan jauh lebih pantas pada harga berpatutan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/10

HMetro | Safee pilih gadis seberang

Kuala Lumpur: Penyerang skuad bola sepak kebangsaan Mohd Safee Sali bakal menamatkan zaman duda dengan memilih gadis dari Indonesia dikenali sebagai Shasha sebagai pasangan hidupnya.

Berita mengenai perkahwinan Safee yang bergelar jutawan bola sepak apabila menandatangani kontrak lumayan dengan kelab dari Indonesia Pelita Jaya FC mula tersebar di laman web sebelum ini.

Bapanya, Sali Mian, 66, ketika dihubungi semalam mengesahkan mengenai perkara itu dan memberitahu Safee bakal mengadakan majlis pernikahannya di Indonesia.

“InsyaAllah selepas itu majlis perkahwinan akan di adakan di sinilah (Bidor) pada 28 Disember ini,” katanya, namun enggan mengulas lebih lanjut.


KAD kahwin Mohd Safee

Safee sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan Sabrina Yusoff pada 2007 namun bercerai pada 2012. Hasil perkongsian hidup dengan Sabrina dia dikurnia dua cahaya mata.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/10

HMetro | Tangisan bayi tepi longkang


Ipoh: “Bayi itu pasti mati jika saya dan rakan tidak menjumpainya,” kata Chong Lean Fatt, 48, yang menemui bayi baru dilahirkan dibuang dalam keadaan bogel di tepi longkang berhampiran Jalan Lapangan Perdana 19, Taman Lapangan Setia, di sini, pagi semalam.

Bayi perempuan cukup sifat dan masih bertali pusat itu dicampak di kawasan sunyi berhampiran lokasi projek pembinaan rumah kedai yang baru disiapkan.

Chong yang juga seorang kontraktor berkata, dia bersama seorang rakan serta wakil syarikat pemaju menemui bayi malang itu pada jam 11 pagi selepas terdengar tangisannya.

Menurutnya, dia datang ke kawasan itu untuk memasang jeriji besi di sebuah unit kedai dan segera memaklumkan kepada rakan.
 


“Saya beritahu rakan mengenai suara bayi menangis, tapi dia kata itu mungkin bunyi anjing liar atau kucing. Saya tidak puas hati dan memaklumkannya kepada wakil pemaju projek kedai itu yang datang untuk memantau kerja pengubahsuaian.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/10

HMetro | 'Puntianak' kaki lima

Ipoh: Wajah jelita persis model, namun kumpulan pelacur Thailand di sekitar bandar raya ini mendapat jolokan ‘pondan puntianak’ apabila gemar bertindak ganas mencakar dan menggigit anggota penguat kuasa yang cuba menahan mereka.

Kumpulan pelacur yang bergiat secara berkumpulan itu dikesan memonopoli kegiatan maksiat di beberapa kawasan pada waktu malam, antaranya di Jalan Yang Kalsom, Jalan Kampar dan Jalan CM Yusuf.

Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Perak Irwan Zahid berkata, kehadiran pelacur pondan itu memang dalam perhatian pihaknya dan operasi serta tangkapan sentiasa dilakukan dari semasa ke semasa.

Menurutnya, dalam beberapa operasi yang dilakukan sebelum pelacur pondan itu agak agresif apabila menggigit tangan dan mencakar beberapa anggota penguat kuasa yang cuba menahan mereka.

“Mereka juga sanggup bergelut semata-mata mahu melarikan diri. Namun, itu semua tidak menghalang kami terus melakukan operasi bagi memastikan bandar raya ini bebas maksiat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/10

Wednesday, November 20, 2013

Harian Metro | 21 November 2013 | Tuhan Harun akhirnya tewas

Ledang: Ketua ajaran sesat Tuhan Harun yang nama sebenarnya Harun Mat Saat dicekup polis di sebuah rumah Taman Bandar Baru Tangkak, di sini, semalam langsung tidak pernah dilihat jiran sejak dia menyewa di rumah itu kira-kira dua minggu lalu.

Seorang jiran mahu dikenali sebagai Roslan, 40, berkata, dia hanya pernah ternampak seorang lelaki bernama Hairi di laman rumah dan lelaki itu tergesa-gesa masuk selepas melihatnya.

“Saya menyangka mereka sekeluarga dan baru dua minggu menyewa rumah itu. Kehidupan mereka agak aneh kerana tidak pernah bertegur sapa dengan jiran.

“Mereka juga menggunakan kenderaan pelbagai guna (MPV) cermin gelap, manakala pintu dan pagar sentiasa ditutup,” katanya, semalam.

Harun yang dikehendaki polis dan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) ditahan di sebuah rumah berkembar di Jalan Puteri 2/15, taman berkenaan bersama seorang wanita dipercayai isterinya, Azida Mohd Zol, 30, kira-kira jam 3.30 petang.