Saturday, September 29, 2012

Didakwa noda, liwat anak kekasih

AMPANG: Seorang subkontraktor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, semalam atas dua tuduhan merogol dan meliwat anak kepada teman wanitanya, iaitu kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun antara Februari hingga September lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Nazarul Rizman Mohd Nor, 30, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan apabila pertuduhan dibacakan.

Mengikut pertuduhan pertama, Nazarul Rizman didakwa melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabie iaitu dengan memasukkan kemaluan ke dalam dubur mangsa.

Perbuatan itu dilakukan antara Februari hingga 21 September 2012 jam 8 pagi di sebuah apartmen di Taman Bukit Indah, Ampang. Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 377 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan kedua, tertuduh pada masa dan tempat sama didakwa merogol kanak-kanak sama dan didakwa mengikut seksyen 376 (2) (C) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara mandatori maksimum 30 tahun yang juga boleh dikenakan hukuman rotan jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nadiah Malek Fauzi, meminta mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin kerana jenayah yang dilakukannya berat dan dikhuatiri mengganggu mangsa.

Hakim Manira Mohd Nor membenarkan permohonan itu dan menetapkan 31 Oktober sebagai sebutan semula.

 Harian Metro, 29-09-2012

‘Sekepala’ buat noda

KUALA LUMPUR: Keutamaan mereka ialah hiburan dan mendapatkan wang dengan cara mudah. Itu cara hidup segelintir pasangan suami isteri di ibu kota yang ‘sekepala’ menjalani kehidupan yang disifatkan golongan terbabit amat bahagia biarpun diselubungi noda.

“Isteri saya pernah kerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) dan saya beri keizinan kerana pendapatannya lumayan, boleh cecah sehingga lebih RM10,000 sebulan.

“Lagipun, saya minat hiburan dan suka lepak dengan kawan mendengar muzik,” kata lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Man, 37.

Man yang mendakwa hanya bekerja sendiri berkata, dia dan isterinya, Liza, 28, baru berkahwin lima bulan lalu.

“Tapi, isteri saya baru saja berhenti kerja sebagai GRO sejak sebulan lalu kerana kini dia hamil lima minggu,” katanya.

Harian Metro, 29-09-2012