Wednesday, March 13, 2013

Kosmo | Negara ! - 14 March 2013 - Part 1

Filipina tahan 35 pengganas Sulu

MANILA – Tentera Laut Filipina mendakwa telah menangkap 35 pengganas Sulu termasuk seorang wanita semalam ketika mereka cuba kembali ke Filipina dari Sabah.

Ketua Pemerintah Tentera di Mindanao Barat, Leftenan Jeneral Rey Ardo berkata, mereka yang ditangkap itu dipercayai saki-baki pengganas Sulu yang memasuki Lahad Datu.

“Mereka sudah pulang (ke tanah air), mereka bersenjata,” kata Ardo kepada stesen televisyen ABS-CBN.

Menurutnya, ketika ditahan para pengikut pemimpin puak pengganas Sulu, Jamalul Kiram III itu sedang menuju ke sebuah pulau di negara ini.

Jelasnya, salah seorang lelaki itu cedera kemungkinan akibat pertempuran yang berlaku di Sabah.

Ardo menyatakan, ketibaan pengikut-pengikut Jamalul itu menunjukkan mereka panik kerana pasukan keselamatan Malaysia meningkatkan usaha memburu kumpulan tersebut.

“Mereka takut dan kembali semula ke Filipina untuk mengelak ditangkap di Sabah,” katanya.


Dua askar gugur naik pangkat

SUBANG – Kerajaan semalam mengumumkan kenaikan pangkat dua anggota tentera yang terkorban dalam Ops Daulat menentang pengganas Sulu di Lahad Datu, Sabah.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kenaikan pangkat tersebut merupakan penghargaan kepada kedua-dua wira itu selain mengenang jasa serta pengorbanan mereka kepada negara.

Menurut beliau, Allahyarham Prebet Ahmad Hurairah Ismail, 24, dan Prebet Ahmad Farhan Ruslan, 21, masing-masing dinaikkan pangkat sebagai Koperal.

“Ini bererti imbuhan untuk ibu bapa mereka akan diberikan melalui beberapa faedah perkhidmatan. Wang tidak boleh mengubati kesedihan dan kehilangan keluarga tetapi ini tanda prihatin kerajaan, kementerian dan warga tentera,” kata beliau.

Beliau berkata demikian selepas menyambut ketibaan kedua-dua jenazah yang diterbangkan dari Tawau dengan pesawat C-130 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Pangkalan TUDM di sini semalam.

Jenazah yang tiba pukul 8 pagi itu turut diberi penghormatan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin dan Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar.


Pembangkang mahu gagalkan PRU-13

HULU SELANGOR – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendedahkan rancangan pakatan pembangkang untuk menggagalkan Pilihan Raya Umum (ke-13) akan datang dengan mewujudkan keadaan porak-peranda di negara ini.

Beliau berkata, daripada maklumat beberapa dokumen yang boleh dipercayai, pembangkang dipercayai merancang untuk berbuat demikian kerana gementar dengan sokongan rakyat kepada Barisan Nasional (BN) yang sudah mula meningkat.

“Macam (penasihat Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri) Anwar Ibrahim sebut, kalau dalam pilihan raya ini dia kalah maka tentulah kekalahan itu (mengikut dakwaannya) disebabkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) buat kerja kotor, tipu rakyat.

“Bila dia menang, dia tak pernah kata SPR tipu rakyat, tapi bila nak kalah, nampak-nampak nak tumbang dan impian untuk jadi Perdana Menteri tak akan menjadi, maka dia dah mula buat telahan,” katanya.


Bank Rakyat agih dividen 18%

KUALA LUMPUR – Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd. (Bank Rakyat) semalam mengumumkan pengagihan dividen sebanyak 18 peratus atau RM495 juta bagi tahun kewangan 2012 berbanding 20 peratus pada tahun sebelum.

Pengagihan itu membabitkan pembayaran dividen tunai sebanyak 16 peratus atau RM440 juta dan dividen bonus dalam bentuk syer sebanyak dua peratus yang berjumlah RM55 juta kepada 947,541 orang ahli.

Bank koperasi Islam terbesar di Malaysia itu turut merekodkan keuntungan sebelum cukai dan zakat sebanyak RM2.11 bilion bagi tempoh tersebut, naik 4.7 peratus atau RM94.9 juta berbanding tempoh yang sama sebelumnya.

Di samping itu, keuntungan bersih yang dicapai bank itu ialah sebanyak RM1.74 bilion.


PNB umum agihan pendapatan ASM 6.80 sen

KUALA LUMPUR – Permodalan Nasional Bhd. (PNB) melalui anak syarikatnya, Amanah Saham Nasional Bhd. (ASNB) mengumumkan agihan pendapatan sebanyak 6.80 sen seunit untuk Amanah Saham Malaysia (ASM) bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2013.

ASM merupakan sebuah dana ekuiti pendapatan yang mula dilancarkan pada 20 April 2000 dengan objektif untuk memberi peluang kepada pemegang unit membuat pelaburan jangka panjang serta memperoleh pulangan yang kompetitif.

Pengerusi PNB, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata, kadar 0.30 sen daripada jumlah agihan pendapatan tersebut merupakan pendapatan khas sebagai tanda penghargaan kepada 542,809 pemegang unit terlibat.

“Jumlah agihan pendapatan ini lebih tinggi berbanding tahun lepas iaitu 6.50 sen seunit.

“Sebanyak RM913.85 juta peruntukan digunakan bagi agihan ini berbanding RM818.62 juta pada tahun lalu,” katanya kepada pemberita pada majlis pengumuman agihan pendapatan berkenaan di sini semalam.