Thursday, August 2, 2012

Mohon simpati

Oleh Nor Shafinaz Sari
am@hmetro.com.my
Artikel ini disiarkan pada : 2012/08/03


ALOR GAJAH: Seorang warga emas dari Kampung Hilir Pantai, Kuala Sungai Baru, di sini, yang terpaksa menjaga ibunya sejak lapan tahun lalu memohon keprihatinan orang ramai meringankan beban kehidupan mereka.

Jamilah Jaamat, 63, menjaga ibunya Munah Ishak, 86, yang uzur sepenuh masa dan hanya bergantung kepada bantuan RM180 diberikan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi menampung hidupnya dan ibu.

Menurut Jamilah, jumlah itu tidak cukup untuk perbelanjaan ibunya yang kini uzur dan tidak mampu bergerak.

“Perbelanjaan ibu saya saja memerlukan RM400 sebulan untuk membeli lampin pakai buang, susu dan kos perubatannya.

“Saya sudah banyak kali memohon bantuan untuk ibu walaupun sekadar lampin pakai buang. Pihak berkenaan ada datang meninjau keadaan kami, namun permohonan ditolak dengan alasan anak ramai dan rumah besar,” katanya di sini.

Menurutnya, memang rumah ini bukan pondok buruk, namun mereka tidak tahu kedudukan kewangan yang ditanggung.

“Walaupun adik-beradik saya ramai, mereka semua susah. Memang mereka ada memberi wang sekiranya pulang ke kampung, namun ia tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan ibu,” katanya.

Menurutnya, keadaan kesihatannya yang tidak beberapa baik sejak akhir-akhir ini juga memerlukan kos perubatan untuk dirinya.

No comments:

Post a Comment