Saturday, February 16, 2013

Harian Metro | Selamat tinggal seksi

Imej seksi memang sinonim dengannya, malah pernah digelar Artis Paling Seksi oleh satu majalah hiburan pada 1990. Mungkin pengalaman menyanyi di kelab malam membuatkan dirinya tidak kekok tampil seksi, sama ada di pentas mahupun depan kamera.

Bagaimanapun, dalam usianya kini, Datin Ramziela Radzillah, 48, banyak berubah. Dunia glamor sebagai penyanyi sudah lama ditinggalkan apabila bertemu jodoh dengan Datuk Sallehuddin Kassim, 62, pada 16 September 1999.

Tidak banyak perubahan pada susuk tubuhnya yang masih jelita dan seksi walaupun penampilan kini jauh lebih sopan dengan bertudung.

Ramziela kini bahagia dengan kehidupannya sebagai isteri dan ibu kepada seorang anak perempuan, Lily Nurlynna, 12.

Selain mengurus rumah tangga, masanya kini diisi dengan tanggungjawab di syarikat keselamatan yang diusahakan suami, DSK Security Management Services dan terbaru, mengusahakan MISICAFE di Sime Darby Pavillion, Bukit Jelutong, Shah Alam sejak September tahun lalu.

Katanya, buat masa ini pelanggan MISICAFE tidak ramai kerana khusus untuk pelajar kumpulan pertama Malaysia Institute For Supply Chain Innovation (MISI) seramai 40 orang yang semuanya orang luar seperti Australia, Amerika dan India serta pengunjung kelab.

“Kafe ini masih baru dan saya harap orang di sekitar sini juga datang menjamu selera di sini. Saya dapat peluang membuka kafe ini secara kebetulan apabila datang ke sini atas urusan syarikat pertengahan tahun lalu. Saya lihat ada ruang pameran kosong dan bertanya apa kegunaan tempat ini.

“Ketika itu memang kosong dan mereka beri pada saya kalau berminat. Apa lagi, seperti orang mengantuk disorong bantal dan terus timbul idea untuk membuka kafe.

“Sebagai permulaan, saya masak di rumah dan hidang di sini secara bufet, tetapi sekarang saya ada pekerja dan masak di sini.

“Masih ada ruang kosong dan saya bercadang jadikan pasar mini yang menjual keperluan harian dan sudut cenderamata,” katanya yang ramah melayan pelanggan yang masuk ke kafe.

Ramziela akui, minat memasak untuk keluarga dan teman sebelum ini membuatkan dirinya tertarik membuka kafe. Katanya, apabila berhenti menyanyi, hidupnya sunyi lalu minta izin suami untuk bekerja di syarikat miliknya.

“Walaupun bekerja, masih bosan kerana biasa dengan kehidupan sebagai anak seni. Kini saya sibuk di sini pula, tapi saya bahagia dengan kehidupan sekarang.

“Rumah juga tidak jauh dari kafe, tapi Lily masih terus sekolah di tempat lama. Jika suami tidak sibuk di pejabat, dia singgah di sini, kemudian mengambil Lily di sekolah,” katanya.

Kata Ramziela, buat masa ini dia tiada perancangan untuk muncul dengan album baru atau single kerana sudah puas dengan semua itu.

“Saya tak mahu nyanyi lagi kerana bahagia dengan kehidupan sekarang. Saya pernah keluar duit buat album Mencari Cahaya pada 1997 dan diedarkan Redifussion.

“Malangnya, album itu kurang promosi walaupun memuatkan lagu yang bagus sentuhan komposer terkenal seperti Arab, Awang BPR dan Man Kidal, manakala lirik pula oleh Habsah Hassan.

“Itu album terakhir saya dan saya sering putarkan lagu di kafe ini untuk menghiburkan pelanggan,” katanya.

Mengenai puteri tunggalnya, kata Ramzeila, dia lebih cenderung kepada tarian dan pernah menyertai program My School Attack di Astro dan kini mengikuti kelas Sazlan Junior Dancer di Taman Tun D Ismail.

Anaknya hanya tahu ibunya dulu penyanyi popular beberapa tahun lalu apabila satu hari bertanya Ramziela benarkah dia dulu penyanyi.

“Apabila saya katakan ya, sejak itu dia selongkar stor di rumah mencari album lama dan juga gambar lama saya,” katanya tersenyum.

Mengimbas kerjaya sebagai anak seni, kata Ramziela, dia bermula sebagai penyanyi Pentarama bersama Salih Yaacob, Norshila Amin dan Shidee pada 1981, kemudian beralih ke kelab malam di hotel hingga menjelajah satu Malaysia.

Ketika menyanyi di Batu Feringgi, Pulau Pinang, Ramziela dipelawa kumpulan dari Singapura, Savior’s Band untuk menyertai mereka di Singapura.

Selama lima tahun di Singapura, Ramziela menimba pengalaman menyanyi di kelab malam terkenal di sana.

“Ketika menyanyi di Caesar’s Club, Ramli MS (Datuk) dan anggota Headwind antara yang datang. Mereka mengajak saya menyanyi di Kuala Lumpur dan menyangka saya orang Singapura. Mereka terkejut apabila saya kata saya orang Malaysia.

“Selepas itu Ramli tawarkan saya buat album dan saya merakamkan album pertama, Hati Seorang Wanita di Kings Studio pada 1989 dan album itu diedarkan Suria Records,” katanya yang mempunyai empat album dari 1989 hingga 1997.

Harian Metro | Artikel ini disiarkan pada : 16/02/2013

No comments:

Post a Comment