Monday, October 21, 2013

Harian Metro | 21 October 2013 | Berita Utama

Chong Wei kecundang di Denmark

PEMAIN nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei gagal mempertahankan kejuaraan Terbuka Denmark apabila tewas kepada Chen Long dari China di Odense, Denmark, tengah malam tadi.

Chong Wei, yang menyambut hari kelahirannya ke-31, terpaksa akur dengan ketangkasan Chen Long yang juga pemain nombor tiga dunia dengan straight set, 22-24 dan 19-21 dalam 68 minit.

Dengan kemenangan itu, Chen Long membawa pulang US$30,000 (RM94,710) manakala Chong Wei selaku naib juara meraih US$15,200 (RM47,986.40)

Untuk rekod, Chong Wei meraih lima gelaran tahun ini iaitu Terbuka Korea, Malaysia, India, Indonesia dan Terbuka Jepun.

 
Minum air dari enjin bot

Pasir Puteh: “Saya menjadikan dua kain sarung (pelekat) sebagai layar untuk menggerakkan bot dan menjadikan paku sebagai mata kail dan sampah di dalam bot sebagai umpan untuk menangkap ikan.

“Lebih memeritkan, saya terpaksa meminum air yang diambil dari enjin bot walaupun sudah bercampur sedikit minyak,” kata Abdul Aziz Daud, 58, dari Pulau Seratus, Tumpat yang ditemui semula selepas hilang di laut sejak 19 hari lalu.

Dia dilaporkan hilang pada 2 Oktober lalu ketika turun ke laut bagi membantu menunda bot rakannya di Pantai Dasar Sabak, Kota Bharu dan ditemui selamat kira-kira 10 batu nautika dari Pulau Perhentian, Terengganu, semalam.

Dia ditemui kira-kira jam 12 tengah hari semalam oleh pekerja Perhentian Island Resort berhampiran Pulau Lang Tengah sebelum dibawa ke balai polis Pulau Perhentian dan dihantar oleh anggota polis balai berkenaan ke Jeti Kuala Besut, Terengganu dan tiba pada jam 3.30 petang.

Abdul Aziz ketika menceritakan pengalamannya berkata, sebaik terpisah daripada bot lain ketika operasi menunda bot rakannya itu, bot dinaikinya tiba-tiba mengalami kerosakan enjin sebelum dihanyutkan ke tengah laut.


‘Kau perasan cantik sangat’

Kuala Lumpur: “Kau ni lah yang perasan cantik... kau pukul adik angkat aku kan? Kau bangunlah bodoh, bangun..kau ni bodoh, bodoh.”

Itu antara dialog dua remaja perempuan sebelum memukul, menumbuk dan menendang serta menampar seorang remaja perempuan lain dipercayai rakan mereka yang rakaman videonya tersebar menerusi Facebook dan YouTube sejak beberapa hari lalu.

Difahamkan, kejadian berkenaan berlaku di sebuah negeri pantai timur di kawasan tepi pantai dan kedua-dua suspek itu bukan saja menyepak rakan mereka malah turut mengaibkan mangsa dengan menarik kemeja-T yang dipakainya ke atas.

Video berdurasi 2 minit 24 saat itu tersebar secara meluas di laman sembang sosial dan dipercayai ia dirakam seorang lagi rakan mereka sebelum memuat naik video itu ke Facebook dan YouTube.

Difahamkan, mangsa yang juga kenalan kepada adik angkat kedua-dua remaja perempuan itu dikatakan pernah memukul adik angkat mereka dan suspek dipercayai bertindak membalas dendam terhadap mangsa.


 
Ramdan hampa

Kuala Lumpur: Misbun Ramdan Misbun gagal ke final Kejohanan Antarabangsa Switzerland selepas kandas di separuh akhir, tewas kepada pemain Russia, Vladimir Malkov, semalam.

Ramdan, pilihan kedua kejohanan terpaksa akur dengan kematangan lawan berusia 27 tahun itu apabila tunduk 11-21 pada permainan pertama, namun bangkit dengan kemenangan 21-14 untuk mengheret ke permainan penentuan.

Pada permainan penentuan itu, Ramdan mengawal lawan dengan baik, mendahului 5-0, 8-2 dan 11-5.

Sebaik bertukar gelanggang, corak permainan Ramdan mula perlahan dan dikejar Vladimir, pilihan keempat.

Ramdan yang mendahului 18-14, hanya memerlukan tiga mata untuk menamatkan perlawanan namun Vladimir bangkit memacu laju untuk melangkah ke final dengan kemenangan 21-18.



Tawaran antarabangsa

Pelakon jelita tanah air Nur Fathia Abdul Latif, 25, dan Miera Leyana Kasmi, 20, berjaya mencuri tumpuan tetamu yang hadir pada acara karpet merah dan pembukaan Forum Filem Antarabangsa Tashkent Golden Guepard kali ketiga yang berlangsung di Tashkent, Uzbekistan, malam kelmarin.

Malah ramai tetamu yang hadir menyang-kakan mereka adalah artis dari delegasi negara Timur Tengah.

Paling menarik, pengarah filem Russia, Said Muxtozor menawarkan Miera Leyana berlakon dalam filem berjudul Jealous di mana pelakon itu akan membawakan watak gadis bisu.

Miera ketika ditemui berkata, dia tidak menjangka akan mendapat perhatian pengarah filem antarabangsa terbabit.

“Saya juga tak sangka kerana dia menawarkan watak utama. Saya difahamkan Said antara produser dan pengarah terkenal di Russia dan sudah menerbitkan lebih 20 filem,” katanya kepada RAP.

No comments:

Post a Comment