Thursday, August 29, 2013

Berita Harian | Wanita cemas sangka anak kena culik

Sungai Buloh: Seorang ibu melalui detik cemas selepas laporan anaknya diculik ketika keluar sekolah di Puncak Alam di sini, jam 11 pagi semalam, tersebar luas menerusi laman sosial Facebook.

Wanita itu cemas apabila gagal menemui anaknya ketika ingin mengambil anaknya di sekolah agama terbabit dan menerima panggilan daripada nombor yang tidak dikenali.
Berikutan itu, ibu mangsa membuat laporan polis mendakwa anaknya diculik.


Menurut laporan dalam Facebook itu, mangsa dilihat menunggu ibunya di hadapan sekolah apabila sebuah lori berhenti di hadapan mangsa.

Selepas lori bergerak dari situ, kanak-kanak itu tiada lagi di tempat berkenaan. Beberapa murid yang berada di kawasan itu kemudian dikatakan berjaya mengecam nombor pendaftaran lori berkenaan.

Cari anak seluruh sekolah

Menurut laporan itu lagi, ibu mangsa mencari anaknya di seluruh sekolah agamanya dan Sekolah Kebangsaan Puncak Alam 2 (SKPA 2) berdekatan sebelum membuat laporan polis.

Guru SKPA, Mooraziz Mudakir, berkata beliau yang memuat naikkan laporan kehilangan kanak-kanak itu menerusi Facebooknya selepas melihat ibu mangsa cemas dan tertekan sewaktu beliau disoal siasat polis.

Ibu kanak-kanak itu datang bertemu saya dan menceritakan apa yang berlaku sewaktu saya hendak pulang. Atas rasa tanggungjawab dan prihatin saya memuat naikkan rayuannya supaya orang ramai dapat membantu mencari kanak-kanak terbabit.

Namun ketika polis sedang menyoal siasat ibu mangsa, kanak-kanak itu tiba-tiba muncul bersama abangnya. Saya terus memadamkan entri kehilangannya dan memuat naik entri penemuannya.

Saya tidak menyangka berita ini tersebar begitu pantas ke seluruh negara, kerana itulah saya segera memuat naik entri terbaru menyatakan kanak-kanak itu sudah ditemui, katanya.

Sembunyi di tingkat empat

Menceritakan apa sebenarnya berlaku, Mooraziz berkata, selepas disoal kanak-kanak itu memaklumkan dia bersembunyi di tingkat empat SKPA 2 bersama abangnya selepas diganggu beberapa pelajar lelaki.

Dia cuba menghubungi ibunya menggunakan telefon bimbit pekerja kedai buku sekolah bagi memaklumkan dia ada di SKPA 2 tetapi disebabkan talian tidak jelas, ibunya menyangka anaknya diculik, lebih-lebih lagi selepas usaha mencarinya gagal, katanya.

Sementara itu, jurucakap Ibu Pejabat Polis Sungai Buloh mengesahkan laporan penculikan berkenaan tidak benar.

No comments:

Post a Comment