Imej seksi memang sinonim dengannya, malah
pernah digelar Artis Paling Seksi oleh satu majalah hiburan pada 1990.
Mungkin pengalaman menyanyi di kelab malam membuatkan dirinya tidak
kekok tampil seksi, sama ada di pentas mahupun depan kamera.
Bagaimanapun, dalam usianya kini, Datin Ramziela Radzillah, 48,
banyak berubah. Dunia glamor sebagai penyanyi sudah lama ditinggalkan
apabila bertemu jodoh dengan Datuk Sallehuddin Kassim, 62, pada 16
September 1999.
Tidak banyak perubahan pada susuk tubuhnya
yang masih jelita dan seksi walaupun penampilan kini jauh lebih sopan
dengan bertudung.
Ramziela kini bahagia dengan kehidupannya sebagai isteri dan ibu kepada seorang anak perempuan, Lily Nurlynna, 12.
Selain mengurus rumah tangga, masanya kini diisi dengan tanggungjawab
di syarikat keselamatan yang diusahakan suami, DSK Security Management
Services dan terbaru, mengusahakan MISICAFE di Sime Darby Pavillion,
Bukit Jelutong, Shah Alam sejak September tahun lalu.
Katanya, buat masa ini pelanggan MISICAFE tidak ramai kerana khusus
untuk pelajar kumpulan pertama Malaysia Institute For Supply Chain
Innovation (MISI) seramai 40 orang yang semuanya orang luar seperti
Australia, Amerika dan India serta pengunjung kelab.
“Kafe ini masih baru dan saya harap orang di sekitar sini juga
datang menjamu selera di sini. Saya dapat peluang membuka kafe ini
secara kebetulan apabila datang ke sini atas urusan syarikat pertengahan
tahun lalu. Saya lihat ada ruang pameran kosong dan bertanya apa
kegunaan tempat ini.
“Ketika itu memang kosong dan mereka
beri pada saya kalau berminat. Apa lagi, seperti orang mengantuk
disorong bantal dan terus timbul idea untuk membuka kafe.
“Sebagai permulaan, saya masak di rumah dan hidang di sini secara bufet, tetapi sekarang saya ada pekerja dan masak di sini.
“Masih ada ruang kosong dan saya bercadang jadikan pasar mini yang
menjual keperluan harian dan sudut cenderamata,” katanya yang ramah
melayan pelanggan yang masuk ke kafe.
Ramziela akui, minat
memasak untuk keluarga dan teman sebelum ini membuatkan dirinya tertarik
membuka kafe. Katanya, apabila berhenti menyanyi, hidupnya sunyi lalu
minta izin suami untuk bekerja di syarikat miliknya.
“Walaupun bekerja, masih bosan kerana biasa dengan kehidupan sebagai
anak seni. Kini saya sibuk di sini pula, tapi saya bahagia dengan
kehidupan sekarang.
“Rumah juga tidak jauh dari kafe, tapi
Lily masih terus sekolah di tempat lama. Jika suami tidak sibuk di
pejabat, dia singgah di sini, kemudian mengambil Lily di sekolah,”
katanya.
Kata Ramziela, buat masa ini dia tiada perancangan
untuk muncul dengan album baru atau single kerana sudah puas dengan
semua itu.
“Saya tak mahu nyanyi lagi kerana bahagia dengan
kehidupan sekarang. Saya pernah keluar duit buat album Mencari Cahaya
pada 1997 dan diedarkan Redifussion.
“Malangnya, album itu
kurang promosi walaupun memuatkan lagu yang bagus sentuhan komposer
terkenal seperti Arab, Awang BPR dan Man Kidal, manakala lirik pula oleh
Habsah Hassan.
“Itu album terakhir saya dan saya sering putarkan lagu di kafe ini untuk menghiburkan pelanggan,” katanya.
Mengenai puteri tunggalnya, kata Ramzeila, dia lebih cenderung kepada
tarian dan pernah menyertai program My School Attack di Astro dan kini
mengikuti kelas Sazlan Junior Dancer di Taman Tun D Ismail.
Anaknya
hanya tahu ibunya dulu penyanyi popular beberapa tahun lalu apabila
satu hari bertanya Ramziela benarkah dia dulu penyanyi.
“Apabila saya katakan ya, sejak itu dia selongkar stor di rumah mencari
album lama dan juga gambar lama saya,” katanya tersenyum.
Mengimbas kerjaya sebagai anak seni, kata Ramziela, dia bermula
sebagai penyanyi Pentarama bersama Salih Yaacob, Norshila Amin dan
Shidee pada 1981, kemudian beralih ke kelab malam di hotel hingga
menjelajah satu Malaysia.
Ketika menyanyi di Batu Feringgi,
Pulau Pinang, Ramziela dipelawa kumpulan dari Singapura, Savior’s Band
untuk menyertai mereka di Singapura.
Selama lima tahun di Singapura, Ramziela menimba pengalaman menyanyi di kelab malam terkenal di sana.
“Ketika menyanyi di Caesar’s Club, Ramli MS (Datuk) dan anggota
Headwind antara yang datang. Mereka mengajak saya menyanyi di Kuala
Lumpur dan menyangka saya orang Singapura. Mereka terkejut apabila saya
kata saya orang Malaysia.
“Selepas itu Ramli tawarkan saya
buat album dan saya merakamkan album pertama, Hati Seorang Wanita di
Kings Studio pada 1989 dan album itu diedarkan Suria Records,” katanya
yang mempunyai empat album dari 1989 hingga 1997.
Harian Metro | Artikel ini disiarkan pada : 16/02/2013